What is academic integrity? (Malay) – Apakah integriti akademik?

Integriti akademik

Integriti akademik ialah:

Harapan bahawa para guru, pelajar, penyelidik dan semua warga komuniti akademik bertindak dengan: kejujuran, kebolehpercayaan, keadilan, hormat-menghormati dan bertanggungjawab.”

Melanggar integriti akademik juga dikenali sebagai ‘salahlaku akademik’ atau ‘ketidakjujuran akademik’.

Semua pelajar pendidikan tinggi di Australia dikehendaki menegakkan integriti akademik sepanjang pengajian mereka. Langkah penting untuk menegakkan integriti akademik anda adalah dengan menghubungi guru atau sekolah anda sekiranya anda menghadapi  masalah pembelajaran dan bekerjasama dengan mereka untuk mencapai penyelesaian.

Menuntut dan belajar memberi pengetahuan yang diharapkan dari seorang lulusan kursus anda tetapi apa-apa bentuk penipuan bermakna anda mungkin telah kehilangan pengetahuan dan amalan profesional yang penting dan yang anda perlukan untuk berjaya dalam kerjaya anda nanti.

Menjaga nama baik

Para pelajar adalah sebahagian dari sebuah komuniti pembelajaran apabila mereka memulakan pengajian mereka. Tindakan yang melemahkan integriti akademik kursus atau institusi anda boleh memberi kesan kepada reputasi anda pada masa yang akan datang. Misalnya, jika anda telah ditangkap menipu semasa belajar, badan-badan profesional mungkin tidak akan menganugerahkan akreditasi kepada anda.

Mengelakkan penjenayah

Mengekalkan integriti akademik juga melindungi anda daripada penjenayah.

Khidmat penipuan komersil adalah haram di Australia

Pelajar yang menggunakan perkhidmatan penipuan haram, untuk membeli esei, nota pembelaran atau mengupah seseorang untuk menyamar sebagai mereka dalam peperiksaan, juga berisiko diperas ugut. Pada kemudian hari, pengendali perkhidmatan penipuan haram boleh mengancam untuk memberitahu universiti atau bakal majikan tentang penipuan itu kecuali jika pelajar tersebut membayar mereka sejumlah wang yang besar - kadangkala bertahun-tahun selepas penipuan berlaku.

Perilaku yang menyokong integriti akademik

Tick mark in jigsaw piece

Anda boleh menyokong integriti akademik dengan1:

  • memperakui dari mana asalnya maklumat yang anda gunakan, memetik atau merujuk sumber tersebut dengan jelas 
  • menduduki peperiksaan anda sendiri dan menghantar hasil kerja anda sendiri
  • melaporkan dapatan kajian dengan tepat dan mematuhi polisi-polisi kajian
  • menggunakan maklumat dengan cara yang sepatutnya, mengikut undang-undang hakcipta dan privasi
  • bertindak secara beretika atau membuat tindakan yang betul walaupun anda menghadapi kesukaran

Sekiranya anda menghadapi masalah yang boleh menjejaskan prestasi akademik anda, cara terbaik ialah bercakap dengan pensyarah atau tutor atau penyelaras kursus anda.

Perilaku yang melemahkan integriti akademik

Cross mark in jigsaw piece

Pelbagai tingkah laku pelajar boleh menjejaskan integriti akademik. Kadangkala, pelajar tersalah tanggapan bahawa tingkah laku ini suatu perkara biasa atau tidak mendatangkan akibat buruk. Ini adalah salah. Penalti yang besar boleh dikenakan kerana melanggar integriti akademik (lihat Penalti melanggar integriti akademik di bawah untuk maklumat lanjut).

Perilaku yang melemahkan integriti akademik termasuklah2:

Plagarisme

Mengemukakan kerja yang bukan milik anda sendiri tanpa mengakui, memetik atau merujuk sumber asal kerja, dikenali sebagai plagiarisme. Tidak kira sama ada anda melakukan ini secara tidak sengaja atau sengaja, sama ada anda menukar kata-kata untuk menjadikannya seolah-olah kata-kata anda sendiri atau sekadar salin dan tampal (copy and paste). Apabila anda menggunakan pemikiran dan idea orang lain, anda mesti merujuk sumber bahan tersebut.

Hasil kerja yang dikitar semula atau dikemukakan semula

Pengitaran semula melibatkan penyerahan (atau penyerahan semula) hasilkerja yang telahpun dinilai sebelumnya, tanpa kebenaran guru anda. Misalnya, menyerahkan laporan yang telah digred semasa anda di tahun pertama pengajian sebagai sebahagian daripada hasil kerja anda dalam kelas tahun tiga. Bincanglah dahulu dengan guru anda sekiranya anda ingin membina di atas hasilkerja anda sebelum ini.

Fabrikasi maklumat

Fabrikasi maklumat termasuklah mereka maklumat bagi penilaian untuk tugasan-tugasan berfokus pada penyelidikan, seperti data eksperimen atau temubual. Ia juga boleh merangkumi mencipta sumber data, bukti atau idea dengan memetik penerbitan yang tidak betul atau tidak wujud.

Pakatan sulit

Pakatan sulit melibatkan kerjasama yang haram dengan satu atau lebih pelajar lain untuk menyiapkan kerja yang bakal dinilai. Ini berbeza daripada bekerjasama untuk menyiapkan tugasan kumpulan yang telah ditetapkan oleh guru anda. Contoh kerjasama yang haram termasuk bekerjasama dengan rakan atau sekumpulan rakan-rakan untuk menulis esei atau laporan yang sepatutnya merupakan karya individu. Ia juga mungkin merangkumi perkongsian soalan atau jawapan kuiz atau ujian dengan pelajar lain, begitu juga tugasan bertulis seperti laporan dan esei. Kerjasama yang haram boleh memberi kelebihan yang tidak adil kepada pelajar atau sekumpulan pelajar berbanding orang lain. Pelajar juga samasekali tidak boleh berkongsi kerja mereka dengan orang lain kerana terdapat risiko bahawa orang yang menerima hasil kerja anda itu boleh memuat naiknya kepada perkhidmatan penipuan haram komersial atau mengedarkannya kepada orang lain.

Menipu dalam peperiksaan

Penipuan dalam peperiksaan termasuk:

  • Menulis ‘nota gelap’ di tubuh badan anda atau pada bahan-bahan yang anda bawa masuk ke bilik peperiksaan
  • cuba meniru dari pelajar lain
  • berkomunikasi dengan pelajar lain atau orang di luar tempat peperiksaan semasa peperiksaan sedang berjalan
  • menggunakan peralatan elektronik untuk mendapat akses kepada maklumat berkaitan peperiksaan tersebut semasa peperiksaan sedang berlangsung
  • membawa barang-barang yang dilarang, misalnya kalkulator yang tidak diluluskan atau buku teks ke dalam dewan peperiksaan.

Penyamaran dan penipuan kontrak

Penipuan kontrak ialah sejenis penipuan komersil. Anda melibatkan orang lain untuk menyiapkan sebahagian atau seluruh kerja anda dan seterusnya menghantar hasil kerja tersebut seolah-olah anda sendiri yang menyiapkannya.  Ini termasuk meminta orang lain menduduki peperiksaan bagi pihak anda atau menyuruh mereka menulis esei, laporan atau tugasan lain, yang kadangkala juga dipanggil ‘penulisan halimunan’ (ghost-writing).

Tindakan yang menyokong khidmat penipuan kontrak haram juga dianggap melanggar integriti akademik. Ini termasuk pelajar yang memuat naik bahan pengajaran seperti latihan peperiksaan, slaid kuliah dan soalan tugasan untuk 'nota kajian'.

Hukuman perlanggaran integriti akademik

Penalties icon

Para pelajar boleh menghadapi pelbagai hukuman ekoran dari perlanggaran integriti akademik, yang biasanya dirujuk sebagai 'salahlaku akademik' atau 'ketidakjujuran akademik'. Tanggapan biasa ialah bahawa pelajar jarang tertangkap. Namun kajian menunjukkan bahawa guru dan institusi boleh mengesan pelanggaran integriti akademik, dan pelajar yang melakukan kesalahan sememangnya tertangkap3. Dan cara mengesan penipuan sentiasa dipertingkatkan.

Hukuman melanggar integriti akademik mungkin termasuk:

  • perlu mengulang tugasan yang dinilai atau unit pengajian tersebut
  • gagal dalam tugasan yang dinilai, unit pengajian atau kursus
  • dibuang dari institusi anda, yang mungkin memberi kesan kepada visa pengajian anda
  • menghadapi tuduhan jenayah

Selain dari risiko hukuman akademik atau jenayah, sekiranya anda didapati telah melanggar integriti akademik, ia boleh memberi kesan kepada hubungan anda dengan pelajar lain, keluarga dan rakan-rakan; kerjaya anda pada masa hadapan juga akan terkesan dan mengakibatkan anda mengalami kerugian kewangan atau kehilangan visa pengajian anda.

Mendapatkan bantuan

Help icon

Jika ada apa-apa pertanyaan berkenaan integriti akademik atau memerlukan nasihat serta sokongan kemahiran pembelajaran, anda perlu berbincang dengan institusi anda. Guru atau penyelaras kursus adalah tempat yang paling sesuai untuk bermula.

Sekiranya anda telah dituduh melanggar integriti akademik, anda perlu mengambil tuduhan itu dengan serius. Institusi anda semestinya mempunyai polisi dan prosedur yang jelas berkenaan disiplin pelajar, aduan dan rayuan. Anda perlu membaca polisi-polisi ini dan anda juga mungkin boleh mendapatkan advokasi atau khidmat sokongan dari kesatuan pelajar sekiranya ada di institusi anda.

Bahagian berikutnya (Mengenalpasti, mengelak dan melaporkan khidmat penipuan haram) menggariskan mengapa anda harus mengelak dari menerima bantuan di laman web atau perkhidmatan yang diiklankan di media sosial kerana mereka mungkin merupakan perkhidmatan penipuan haram.

Nota

  1. Definisi-definisi disesuaikan dari bahan yang dibangunkan oleh La Trobe University.
  2. Definisi-definisi disuaikan dari bahan yang dibangunkan oleh The University of Sydney.
  3. Dawson, P. & Sutherland-Smith, W. (2017). Can markers detect contract cheating? Results from a pilot study, Assessment and Evaluation in Higher Education.

Kembali ke Laman Memahami Integriti Akademik

 

Last updated: