Understanding academic integrity: Frequently asked questions (Malay) – Memahami integriti akademik: Soalan Lazim (FAQ)

Berikut adalah beberapa soalan yang lazim ditanya berkenaan integriti akademik. Jawapan-jawapan ini merupakan maklumat am, dan TEQSA menggalakkan para pelajar berbincang dengan institusi mereka untuk mendapatkan maklumat yang lebih relevan pada diri dan keadaan masing-masing.

Adakah saya akan ditangkap sekiranya saya menipu?

Walau apa pun yang pernah anda dengari, pengalaman dan kajian menunjukkan bahawa pemberi pendidikan tinggi di Australia sememangnya boleh menangkap pelajar-pelajar yang meniru dan menipu, termasuk mereka yang menggunakan perkhidmatan penipuan komersil. Teknologi baru, perubahan dalam rekabentuk penilaian dan para akademik yang dilatih untuk mengenali penulisan, projek serta kertas peperiksaan yang mecurigakan. Ini bermakna berkemungkinan besar anda akan ditangkap.

Saya menghadapi kesukaran dengan penilaian saya. Bagaimana saya boleh mendapatkan bantuan?

Jika anda sedang mengalami kesukaran dalam pembelajaran, bincanglah dengan secepat mungkin dengan pensyarah atau penyelaras unit anda. Anda mungkin boleh mencapai penyelesaian bersama yang boleh membantu anda menamatkan pengajian anda dengan lebih sempurna. Anda juga boleh berbincang dengan penyedia anda berkenaan apa-apa sokongan kemahiran belajar yang mereka tawarkan, misalnya nasihat berkenaan rujukan, penulisan esei dan membuat kajian. Langkah-langkah ini menunjukkan bahawa anda menghargai integriti akademik anda serta sekolah atau universiti anda. 

Saya ingin membaca beberapa nota pembelajaran yang saya jumpa di laman sesawang. Sebelum saya mendapatkan akses kepada nota-nota tersebut, laman itu memerlukan saya memuat naik tugasan saya yang lama. Adakah saya telah melanggar integiriti akademik dengan memuat naik tugasan lama saya itu?

Ya, ada kemungkinan besar yang anda telah melanggar integriti akademik dengan berkongsi tugasan tersebut. Khidmat penipuan haram kerap meminta pelajar memuat naik hasil kerja mereka untuk mendapat akses kepada nota, esei atau “sokongan pembelajaran” dan kemudian menjualnya kepada pelajar lain untuk mendapat keuntungan. Jika penyedia pengajian anda mendapat tahu, anda mungkin akan menghadapi hukuman kerana terlibat dalam penipuan kontrak. Anda seharusnya melindungi hasil kerja anda dan jangan sekali-kali berkongsi dengan orang lain atau muat naik hasil kerja anda ke laman sesawang pihak ketiga.

Bolehkah saya berkongsi tugasan saya yang telahpun dinilai dengan rakan saya?

Tidak. Berkongsi tugasan anda dengan rakan boleh dianggap sebagai satu bentuk bersekongkol, yang melanggar integriti akademik anda. Ada juga risiko bahawa rakan anda akan berkongsi hasil kerja anda dengan pelajar lain atau memuat naik ke laman sesawang khidmat penipuan haram. Anda mestilah melindungi hasil kerja anda dan jangan sekali-kali mengongsikannya dengan orang lain atau memuat naik ke laman sesawang pihak ketiga.

Seorang ahli keluarga atau rakan telah menawarkan bantuannya untuk menyiapkan esei saya. Bolehkah saya terima?

Memang bagus ada ahli keluarga atau rakan yang bersedia membantu, namun anda harus berhati-hati. Kalau setakat semakan ejaan dan tatabahasa, mungkin tiada masalah, tapi sekiranya  ahli keluarga atau kawan anda menyumbang kepada, atau mengubah isikandungan tugasan anda, ini mungkin boleh dianggap pelanggaran integriti akademik.

Peringatan, di bawah undang-undang Australia, sesiapa saja yang memberikan khidmat penipuan haram (seperti penulisan esei atau menyamar dalam peperiksaan) tapi tidak menerima apa-apa bayaran masih tetap boleh dikenakan denda yang berat.

Penyedia saya mendakwa bahawa saya telah membuat salah laku akademik. Apa yang perlu saya buat?

Jika anda telah dituduh melanggar integriti akademik, anda harus memandang berat perkara ini. Institusi anda semestinya ada polisi serta prosedur yang jelas berkaitan dengan disiplin pelajar, aduan dan rayuan. Anda perlu membaca polisi-polisi ini dan bergantung kepada institusi anda, anda mungkin juga boleh mendapatkan khidmat advokasi/pembelaan dan sokongan yang ditawarkan oleh kesatuan pelajar.

Saya tahu ada antara mereka dalam kursus saya yang menipu. Kepada siapakah boleh saya laporkan perkara ini?

Sekiranya anda mempunyai bukti bahawa ada pelajar dalam kursus anda yang menipu, anda perlu maklumkan kepada sekolah atau universiti anda. Bergantung kepada keadaan, anda mungkin perlu menyuarakan kerisauan anda kepada penyelaras unit atau pensyarah terlebih dahulu atau anda mungkin membuat aduan melalui saluran yang lebih formal. Sistem Pengurusan Pembelajaran (Learning Management System – LMS) di institusi anda, buku panduan pelajar atau laman sesawang merupakan tempat-tempat yang paling sesuai untuk memperolehi maklumat.

Bolehkah penipuan memberi kesan kepada kerjaya saya pada masa hadapan?

Ya, apa jua bentuk penipuan boleh memberi kesan negatif kepada masa depan kerjaya anda. Ramai pelajar yang sedang menuntut untuk mempelajari maklumat dan kemahiran yang diperlukan bagi mencapai matlamat kerjaya mereka. Walaupun anda tidak tertangkap sekalipun, tetapi jika anda sendiri tidak melalui/membuat kerja kursus yang telah ditetapkan, anda berkemungkinan tidak akan menepati tahap mutu kerja yang diperlukan oleh majikan. Dan jika anda ditangkap menipu, permohonan pendaftaran anda mungkin ditolak oleh badan profesional. Anda juga menanggung risiko akan diperas ugut oleh khidmat penipuan haram tersebut yang mungkin mengugut untuk mendedahkan penipuan anda kepada majikan anda sekiranya tidak membayar wang yang lebih lagi kepada mereka.

Saya telah membayar orang lain untuk melakukan kerja saya dan sekarang mereka menuntut agar saya membayar mereka lebih wang dan jika saya enggan, mereka akan memberitahu institusi saya. Apa yang harus saya lakukan?

Mengancam seseorang dengan akibat negatif sekiranya seseorang tidak membayar sejumlah wang adalah peras ugut. Peras ugut adalah salah di sisi undang-undang, malangnya, ada sesetengah pelajar mendapati mereka diperas ugut oleh khidmat penipuan haram, malah rakan-rakan mereka sendiri, pelajar-pelajar lain atau ahli keluarga setelah terlibat dengan penipuan. Pembayaran sekali untuk memenuhi tuntutan mereka kerapkali tidak akan menyelesaikan masalah, mereka mungkin meminta wang berkali kali. Ini boleh mendatangkan banyak tekanan kepada pelajar, yang bukan sahaja terpaksa melayani tuntutan si pemeras ugut itu tapi juga akibatnya jika institusi atau majikan mereka dapat tahu.

Sekiranya anda diperas ugut, anda seharusnya meminta nasihat berkenaan situasi anda. Sesetengah institusi mempunyai khidmat advokasi atau perundangan yang tersendiri di mana anda boleh mendapatkan nasihat secara sulit. Pusat Perundangan Masyarakat juga mungkin boleh membantu anda dengan memberikan nasihat. Anda perlu menyimpan salinan semua mesej yang anda terima sebagai bahan bukti apa yang telah berlaku.

Anda mungkin membuat keputusan untuk melaporkan diri penipuan yang telah anda lakukan kepada institusi anda. Kelebihan paling besar tindakan melaporkan diri sendiri ialah orang yang mengugut untuk melaporkan anda tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa ke atas anda. Kelebihan yang lain adalah anda boleh belajar dari kesilapan anda dan menyelesaikan pengajian anda dengan mengetahui bahawa anda telah bertindak dengan integriti. Namun begitu, anda haruslah faham bahawa institusi anda akan mengendalikan perkara ini mengikut polisi serta prosidurnya. Ini bermakna anda bakal menghadapi hukuman akademik atau lebih, bergantung kepada jenis penipuan yang telah berlaku.

Disesuaikan dari maklumat yang dibangunkan oleh Persatuan Pelajar Universiti Deakin

Last updated: